The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan PM QF1: Selangor FC vs Negeri Sembilan FC | Selangor FC Bawa Bekalan 2 Gol ke Paroi

Nov 08, 2022 - FAS

Selangor FC Bawa Bekalan 2 Gol ke Paroi

Selangor FC mempamerkan aksi bertenaga selepas berjaya menundukkan seteru Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan Suku Akhir pertama TM Piala Malaysia 2022 hasil jaringan Herlison Caion dan Aliff Haiqal di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Ahad malam.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, para pemain Gergasi bermula garang dengan  melancarkan serangan awal menerusi percubaan Hein Htet Aung pada minit kedua namun penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi berjaya menepis usaha tersebut.

Pemain muda kelahiran Myanmar itu terus memainkan peranan dengan larian pantas beliau di sayap kanan dengan berjaya membuat umpanan cantik menewaskan Syihan pada minit ke-16 perlawanan namun penyerang Herlison Caion gagal membuat sentuhan penyudah meskipun pintu gol telah pun terbuka.

10 minit berselang, Mukhairi Ajmal bijak mendapatkan Hein Htet Aung yang sekali lagi melakukan larian di sayap kanan sebelum berjaya membuat hantaran lintang ke dalam kawasan kotak penalti lawan, namun tandukan Herlison Caion cuma singgah di palang gol Negeri Sembilan.

Terikat tanpa jaringan untuk babak pertama, Selangor terus menekan kubu pertahanan ‘the Jang’ dan usaha tersebut terhasil pada minit ke-54 selepas Sharul Nazeem dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pemain import Negeri Sembilan, Herold Goulon yang turut dilayangkan kad merah diatas kekasaran tersebut oleh pengadil perlawanan.

Walaupun suasana stadium sedikit tegang dan riuh disebabkan insiden tersebut, Herlison Caion tampil tenang menyempurnakan sepakan penalti sekaligus meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-56.

Beberapa pertukaran dilakukan oleh Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe dan usaha tersebut membuahkan hasil apabila pemain gantian, Aliff Haiqal Lau berjaya melepaskan rembatan leret menggunakan kaki kiri untuk menewaskan Syihan Hazmi buat kali kedua pada minit ke-92 permainan sekaligus mengesahkan kemenangan 2-0 buat Gergasi Merah.

Berbekalkan dua gol dan sempat ditemuramah, Tan Cheng Hoe jelas berpuas hati dengan aksi anak buahnya namun mengingatkan bahawa pemain untuk terus kekal fokus untuk perlawanan timbal balik kedua di Paroi, Sabtu hadapan.

“Walaupun kita ada terlepas beberapa peluang, secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan aksi pemain-pemain untuk malam ini, namun para pemain perlu kekal fokus kerana kita akan bermain untuk 90 minit lagi di Paroi minggu hadapan”, ujar beliau.

Berikut adalah beberapa fakta menarik yang dapat dicatatkan dari perlawanan Suku Akhir TM Piala Malaysia pertama malam tadi:

Rekod tanpa kalah Tan Cheng Hoe diteruskan selepas tujuh perlawanan

Kemenangan 2-0 Ahad lalu menyaksikan rekod cemerlang Tan Cheng Hoe diteruskan selepas tujuh perlawanan dengan mengutip enam kemenangan dan satu keputusan seri setakat ini sejak mengambilalih tugasan selaku Ketua Jurulatih Selangor FC

3 ‘Clean Sheets’ berturut untuk Piala Malaysia 2022

Barisan pertahanan Selangor FC sekali lagi berjaya mencatatkan satu lagi ‘Clean Sheet’ selepas tidak dibolosi untuk tiga perlawanan TM Piala Malaysia 2022 setakat ini

Gol ketiga Aliff Haiqal dalam semua kejohanan musim ini

Jaringan saat akhir Aliff Haiqal malam tadi merupakan jaringan ketiga peribadinya untuk semua kejohanan musim ini (1 Liga Super, 1 Piala FA dan 1 Piala Malaysia)

Penampilan ke-30 buat Quentin Cheng & Alexander Agyarkwa

Mempamerkan aksi cemerlang, dua pemain muda Quentin Cheng (23 tahun) dan Alexander Agyarkwa (22 tahun) membuat penampilan ke-30 bersama Gergasi Merah

Kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi untuk aksi timbal balik kedua Suku Akhir TM Piala Malaysia 2022 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 12 November akan datang. Tahniah dan semoga terus berjaya Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!